Kolaborasi TCorp – UDA Holdings jayakan MARI Mart
JOHOR BAHRU, 1 JANUARI 2022 : Kolaborasi di antara TEKUN Corporation Sdn Bhd dan UDA Holdings Berhad dalam melaksanakan konsep peruncitan dalam pusat membeli belah telah berjaya direalisasikan dengan pembukaan MARI Mart Angsana Johor Bahru Mall dekat sini, hari ini.
Kedai serbaneka dengan slogan ‘Dari Kita Untuk Semua’ ini menawarkan pelbagai produk terkenal di seluruh Malaysia mengikut wilayah dengan jumlah lebih 2,000 produk disediakan untuk para pengunjung. Pengunjung juga boleh menikmati produk ‘signature’ seperti oden daripada T-asty, pau dan siew mai daripada Mohd Chan dan aiskrim daripada T-ice sambil menunggu di ruang rehat yang disediakan.
Perkhidmatan penghantaran oleh Collectco turut disediakan kepada pengunjung yang ingin membuat penghantaran barangan melalui kurier terpilih, serta pembayaran bil utiliti melalui e-Pay. Pengunjung yang ingin menjadikan produk-produk tempatan sebagai cenderamata boleh menggunakan perkhidmatan pembungkusan hadiah dan hamper dengan kadar yang berpatutan.
MARI Mart di Angsana Johor Bahru Mall adalah cawangan kedua di negara ini selepas Angsana Ipoh Mall pada Oktober lalu. MARI Mart dibuka pada jam 10.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.