Program Retreat rangka hala tuju syarikat
PUTRAJAYA, 14 FEBRUARI 2022 : TEKUN Corporation Sdn Bhd telah mengadakan program Retreat yang melibatkan Ahli Lembaga Pengarah syarikat, pegawai-pegawai dari TEKUN Nasional dan warga kerja TEKUN Corporation Sdn Bhd di Hotel Everly Putrajaya pada 14 Februari 2022. Program yang berlangsung selama sehari ini bertujuan untuk membentangkan prestasi syarikat bagi tahun 2021 serta membincangkan hala tuju dan penambahbaikan syarikat dalam tempoh lima tahun.
Program ini dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Dr. Ismail Bin Hj. Bakar, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TEKUN Corporation Sdn Bhd; YBhg. Dato’ Adam Bin Abdul Ghani, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional; Ketua Bahagian & Jabatan dari TEKUN Nasional serta Ketua Unit dan Pegawai Eksekutif TEKUN Corporation Sdn Bhd.
Menurut YBhg. Tan Sri Datuk Seri Dr. Ismail, objektif penganjuran Retreat adalah untuk membina silaturrahim dalam kalangan warga kerja TEKUN Nasional dan TEKUN Corporation Sdn Bhd, selain mendapatkan pandangan dan idea daripada kedua-dua belah pihak. Beliau mengingatkan warga kerja agar meneruskan budaya kerja berpasukan dan sinergi dalam kalangan warga kerja agar matlamat dan sasaran akan lebih mudah dicapai pada masa akan datang.
Pada Retreat tersebut, empat kumpulan telah membuat pembentangan berkaitan cadangan yang telah dibincangkan secara berkumpulan dan memfokuskan teras perniagaan syarikat. Hasil dapatan perbincangan tersebut telah dipersetujui untuk diperhalusi dan dibawa ke peringkat seterusnya.