fbpx

TEKUN Nasional sasar buka 15 TEKUN Mart seluruh negara tahun ini

ALOR GAJAH: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) menyasarkan pembukaan 15 TEKUN Mart di seluruh negara menjelang akhir tahun ini selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) dalam memantapkan keupayaan dan prestasi perusahaan mikro ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pembukaan TEKUN Mart juga adalah bagi membantu mempromosikan produk usahawan TEKUN serta memasarkannya secara terus tanpa orang tengah sekali gus mengatasi masalah usahawan mikro dalam memasarkan produk mereka ke pasar raya besar.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak lima TEKUN Mart telah dibuka iaitu di Terminal Bersepadu Selatan, Ara Damansara, Putrajaya, Bandar Tasik Selatan dan Alor Gajah.

“Imej dan konsep TEKUN Mart ialah seperti kedai serbaneka FamilyMart dan 7-Eleven yang mempamerkan barangan serbaneka dalam suasana moden, selesa, kemas dan teratur.

“Selain produk peruncitan, TEKUN Mart turut mengetengahkan konsep ‘Grab n Go’ seperti produk sedia dimakan dan sedia diminum yang lebih selesa dan mudah kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TEKUN Mart di Pusat Perniagaan Jelatang di sini, pada Khamis.

Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani dan Pengurus Besar TEKUN Corporation Sdn Bhd Ahmad Hambali Zainal Ahmad.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata TEKUN Mart menawarkan produk istimewa antaranya T-asty Oden, aiskrim T-ice, pau dan dim sum Mohd Chan, krep durian, jus e-Zeal dan T-mineral.

Beliau berkata terdapat empat peruncitan ditawarkan di bawah TEKUN Mart iaitu kiosk, kedai serbaneka, pasar mini dan Program Tukar bagi memberi pilihan kepada usahawan yang ingin membuka TEKUN Mart mengikut keupayaan kewangan mereka.

“Pinjaman kewangan bagi membuka TEKUN Mart bergantung kepada kategori peruncitan yang dipilih dan pinjaman yang ditawarkan kepada usahawan yang membuka TEKUN Mart ialah RM100,000 hingga RM240,000,” katanya.

Katanya pelaksanaan TEKUN Mart juga terbahagi kepada beberapa kaedah seperti Company Owned Company Operated (COCO), Company Owned Dealer Operated (CODO) dan Dealer Owned Dealer Operated (DODO) bagi memberi pilihan kepada usahawan yang berminat menjalankan perniagaan Tekun Mart mengikut keupayaan masing-masing.

– Sumber berita dari BERNAMA

Singgah @ MEDAC tawar konsep ‘grab & go’Tan Sri Ismail Bakar dilantik Pengerusi TCorp
BERKOMUNIKASI TERUS DENGAN KAMI

HUBUNGI KAMI


Kami menawarkan komitmen yang berterusan untuk meluaskan capaian anda di peringkat global.

Waktu Operasi :

Isnin – Khamis : 8.30 pagi – 5.30 petang
Jumaat : 8.30 pagi – 5.00 petang

Talian Hotline :

Tel : +603-9059 8968
Faks : +603-9059 9241
Emel : mailbox@tcorp.com.my

Alamat :

TEKUN Corporation Sdn Bhd
Tingkat 4, Menara 2, Lingkaran Maju,
Jalan Lingkaran Tengah 2 Bandar Tasik Selatan,
57000, Kuala Lumpur, Malaysia

collectco tekun mart